Kewangan sebenarnya adalah suatu seni dan sains mengurus wang. Mengurus kewangan pula melibatkan penggunaan pelbagai teori ekonomi dan maklumat-maklumat perakaunan bagi mencapai matlamat firma atau individu.
Pengenalan Konsep Pengurusan Kewangan Pada zaman dahulu kala, kita dapat menukarkan batu-batu yang cantik dan berseni seperti nilam dan zamrud dengan barang-barang yang diperlukan. Selepas itu, muncul pula zaman di mana manusia menggunakan cengkerang-cengkerang siput sebagai medium pertukaran. Akhirnya, zaman yang lebih maju melahirkan mata wang yang diterima umum dalam bentuk logam seperti wang syiling dan juga wang kertas sebagaimana yang ada pada hari ini. Melangkah setapak lagi ke hadapan, manusia mula menggunakan kad-kad pintar sebagai pengganti kepada wang yang bersifat fizikal. Evolusi ini juga melahirkan beberapa cabang ilmu sains sosial yang sangat berguna dalam kehidupan manusia sehingga ke hari ini seperti ilmu perakaunan, ekonomi, kewangan dan matematik. Apa Itu Kewangan Pada zaman sekarang, setiap organisasi sama ada pihak kerajaan mahupun firma swasta memerlukan wang untuk beroperasi. Ini termasuklah organisasi yang tidak bermatlamatkan keuntungan (non-profit organization) yang menjalankan aktiviti kebajikan. Dalam erti kata lain, wang digunakan dalam setiap aktiviti harian yang kita lakukan. Semua manusia yang normal memerlukan wang bagi meneruskan kehidupan mereka dengan lebih selesa. Kerana itu kita dapat lihat di sekeliling kita ada sesetengah pihak yang terperangkap dengan hutang kad kredit dan hutang-hutang lain yang bertimbun. Tidak kurang pula yang terpaksa diisytiharkan muflis akibat masalah kewangan. Begitu juga dengan firma-firma perniagaan yang terpaksa gulung tikar akibat masalah kewangan yang teruk. Oleh kerana itu ilmu kewangan ini harus dipelajari dan difahami oleh setiap individu tidak kira sama ada mereka adalah seorang pegawai, petani, suri rumah mahupun para penganggur. Kewangan sebenarnya adalah suatu seni dan sains mengurus wang. Mengurus kewangan pula melibatkan penggunaan pelbagai teori ekonomi dan maklumat-maklumat perakaunan bagi mencapai matlamat firma atau individu. Umpamanya, apabila firma ingin meningkatkan untung bersih, maka para pengurus perlulah berusaha meminimumkan kos dan memaksimumkan hasil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan